Sabtu, 26 September 2009

Berita hangat!

Ng terkejut isu paten nasi lemak

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (gambar) terkejut apabila kenyataannya berhubung pemilikan makanan tradisi Malaysia menimbulkan perbalahan pelbagai pihak termasuk di Singapura.
"Saya sebenarnya sangat terkejut dengan reaksi pelbagai pihak berhubung kenyataan saya minggu lepas bahawa Malaysia perlu membuat pemilikan beberapa makanan tradisi negara," katanya pada sidang akhbar Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia di kementeriannya di Kuala Lumpur kemarin.
"Saya tidak pernah berkata kita akan mempatenkan makanan tersebut," katanya.
Dr Ng berkata kementeriannya akan mempromosikan makanan Malaysia sebagai strategi utama bagi melonjakkan lagi industri pelancongan kerana penting bagi rakyat Malaysia mengetahui asal usul warisan makanan negara.
Fokus tahun ini ialah nasi lemak, makanan yang sangat popular bagi masyarakat setempat.
"Saya akan mengumumkan strategi promosi itu kemudian tetapi pada masa ini saya mahu memberi tumpuan menjadikan makanan Malaysia sebagai produk pelancongan negara," kata Dr Ng.
Pada majlis pelancaran Festival Gourmet Antarabangsa Malaysia baru-baru ini, Dr Ng berkata kementeriannya akan mengenal pasti dan membuat pemilikan ke atas juadah beridentitikan Malaysia.
"Kita tidak boleh membiarkan negara lain merampas makanan kita. Kita harus membuat pemilikan ke atas makanan kita," katanya. BERNAMA

Isnin, 14 September 2009

Salam lembaran 1 Syawal


"Salam sejahtera kepada semua pengunjung blog ini. Kesempatan ini kru blog mengucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri yang menjalang kini. semoga keceriaan dirasai sepanjang bulan ini. dan kami memohon maaf zahir dan batin sekiranya ada catatan yang mengusik sanubari selama ini. Berhati-hati dijalan raya dan selamat hari lembaran buat anda sekeluarga..."

Ahad, 13 September 2009

Nasi Lemak Antarabangsa buka cawangan baru


Berita Terkini!
KUALA LUMPUR 11 Sept. – Nasi Lemak Antarabangsa (NLA) Kampung Baru merancang menambah empat lagi cawangan restoran di luar Lembah Klang menjelang akhir tahun ini dengan pelaburan lebih RM3 juta.
Bagi tujuan itu, Shaha Corporation Sdn. Bhd. pengendali rangkaian restoran NLA telah menandatangani perjanjian dengan empat pelabur untuk membiayai pembukaan restoran baru tersebut.
“Dataran Pahlawan, Melaka merupakan lokasi pertama kami diluar Lembah Klang. Ia kini sedang diperingkat pengubahsuaian dan dijangka, dibuka dalam tempoh beberapa bulan lagi,” kata Pengurus Abdul Halim Jamaludin dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Melaka dijangka menjadi cawangan terbesar syarikatnya dan mampu menampung sehingga 700 pelanggan pada permulaan operasinya.
“Selain Melaka, kita juga akan membuka restoran di Sabah, Puchong dan Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur,” kata Abdul Halim.
NLA kini beroperasi dengan konsep restoran café di Kampung Baru, Danau Kota, Taman Melati, Ampang Point, Ampang Park, Bangsar, AU2 Jusco, TTDI Jaya dan Kota Damansara. - dipetik dari Utusan Malaysia

Nasi Lemak Antarabangsa kini 36 tahun

Encik Abdul Halim Jamaludin, Pengarah Shaha Corporation Sdn Bhd





Salam sejahtera



Teringat pantun Melayu lama yang masih utuh dan sering menjadi tutur kata sehingga ke genarasi hari ini.

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang mak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan...
Walaupun moral of story pantun ini agak keras dan sebagai hamba yang mentaati Allah dan RasulNya, tidak sewajarnya bertindak demikian tetapi pencipta pantun ini sebenarnya ingin memberitahu betapa eratnya hubungan antara nasi lemak, buah bidara, selasih, mak, saudara dan kasih (kekasih?) sehingga sukar dipisahkan!
Pantun mengenai hidangan kegemaran orang Melayu sejak zaman berzaman, banyak sekali dicipta, dihasilkan. Makanan ini sudah menjadi menu wajib bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi kepada semua bangsa di negara ini.
Jadi tidak hairanlah, hari ini makanan kegemaran ini diilhamkan secara komersil dan muncullah Nasi Lemak Antarabangsa (NLA) yang ditampilkan dengan konsep restoran cafe.
Pengasas Nasi Lemak Kampung Baru Puan Normi Tandoh (Mak Mi) pastinya bersyukur ke hadrat Illahi kerana nasi lemak yang diusahakannya ketika berusia belasan tahun, kini sudah 36 tahun. Bermakna menjelang 2013, genaplah 40 tahun ramuan Mak Mi terus dinikmati masyarakat dunia!
Dan hari ini outlet Nasi Lemak Antarabangsa semakin berkembang dan sebuah demi sebuah dibuka menjadi sembilan outlet. Dan Insyallah, beberapa bulan lagi, buat kali pertama outlet diluar Lembah Kelang, akan dibuka dan mampu memenuhi penggemar dan peminat nasi lemak.
Outlet pertama diluar Lembah Kelang yang dimaksudkan itu ialah di UB-98, Upper Floor, Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Jalan Merdeka, 75000 Bandar Hilir Melaka.
Dengan pembukaan di Dataran Pahlawan Melaka, yang dapat menampung sehingga 700 pelanggan, menjadikan angka kesembilan keseluruhan outlet milik sepenuhnya Shaha Corporation Sdn Bhd, yang beribu pejabat di Industri Lembah Jaya, Ampang, Selangor.
Menurut Abdul Halim Jamaludin, Pengarah Shaha Corporation, tiga lagi outlet akan dibuka menjelang 2010 ialah di Sabah, Puchong dan di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur.