Selasa, 22 Disember 2009

Titah Tuanku!


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah: Umat diseru bina jati diri unggul

UMAT ISLAM harus membina jati diri yang unggul, memiliki dan mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhkan semua sifat mazmumah, titah timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.

Baginda, yang juga Sultan Kedah bertitah, sewajarnya umat Islam mengambil iktibar daripada sikap toleransi para sahabat Nabi Muhammad selepas Rasulullah wafat.

"Walaupun pada permulaannya setiap puak ingin mempertahankan pendapat dan pandangan masing-masing, namun dengan sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan ummah, mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dan masalah dapat diselesaikan di mana semua pihak berpuas hati.

"Hasilnya, Islam terus berkembang dan ikatan ukhuwah antara ummah semakin erat dan kukuh," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2009/1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya.

Baginda turut mengingatkan setiap anggota masyarakat supaya sentiasa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama membina kesatuan ummah yang melangkaui kepentingan diri atau kelompok.

"Masyarakat Islam khasnya mesti meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya. Hanya dengan berbuat demikian ummah akan terselamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.

"Umat Islam sekarang mesti bekerja keras untuk menguasai segala kekuatan, kehebatan dan keunggulan yang pernah dimiliki umat Islam terdahulu," titah baginda.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan