Selasa, 16 Mac 2010

Fiesta Nasi Lemak Ditangguh Mei Depan










KUALA LUMPUR - Fiesta Nasi Lemak 1Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 13 dan 14 Mac ini ditangguh kepada Mei depan bagi membolehkan lebih ramai peserta menyertai pertandingan itu.

Pengerusi program pesta berkenaan, Chef Yang Jamil berkata, penangguhan tersebut dibuat atas permintaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Beliau mahu jumlah penyertaan daripada 200 orang ditambah kepada 500 peserta termasuk penyertaan pelbagai kaum bagi memenuhi kehendak tema 1Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Menurut Yang Jamil, penangguhan itu juga kerana penganjur Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Sri Warisan Event Management ingin membuat percubaan mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records.

"Selain itu, penganjur juga ingin membuka penyertaan kepada penduduk etnik di Sabah dan Sarawak untuk menyertai pesta ini kerana bukan kaum Melayu sahaja yang pandai memasak nasi lemak," katanya.

Tambahnya, terdapat dua kategori penyertaan iaitu kategori A, hotel dan restoran serta kategori B, individu dan kelab.

Pelbagai hadiah menarik berjumlah RM100,000 ditawarkan termasuk sebuah kereta bagi pemenang utama dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 untuk juara kategori A serta RM10,000 untuk juara kategori B.

Katanya, pesta dua hari itu akan diisi dengan pelbagai acara lain seperti pertandingan memasak nasi lemak, demo masakan daripada selebriti tanah air, persembahan hampir 20 artis tempatan, pertandingan pakaian beragam, pertandingan karaoke, gerai masakan warisan dan cabutan nombor bertuah.

Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


"Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca dan rakan berketurunan Cina.
Tahun Harimau kali ini di harap akan membawa keamanan dan keadilan kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Sabtu, 13 Februari 2010

Pesta Nasi Lemak Bermula

Keterangan gambar: Mohamed Daud (dua dari kiri) dan Yang Jamil (dua dari kanan) pada sidang akhbar Fiesta Nasi Lemak 1Malaysia

NASI LEMAK, salah satu daripada hidangan masakan masyarakat Melayu turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia. Nasi lemak sudah menjadi makanan harian pada setiap masa tidak kira pagi, tengah hari, petang dan malam.


Bertujuan menyatupadukan rakyat ke arah gagasan 1 Malaysia sebagaimana saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak, pihak Jabatan Warisan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Sri Warisan Event Management akan menganjurkan Fiesta Nasi 1 Malaysia pada 13 dan 14 Mac depan.


Fiesta yang akan diadakan di Dataran Merdeka ini akan bermula daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.


Menurut Pengerusi Program Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia, Chef Yang Jamil, fiesta ini akan diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak nasi lemak yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat, demo masakan daripada selebriti tanah air, persembahan artis, pertandingan pakaian, gerai masakan warisan dan cabutan nombor bertuah.


''Kami mengalu-alukan penyertaan daripada persatuan artis tanah air, persatuan peniaga, pertubuhan, hotel, institusi pengajian tinggi, kolej masakan, restoran, orang perseorangan dan sebagainya.


''Kami turut menyeru kepada pihak-pihak penaja untuk bersama-sama membantu dan memeriahkan Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia ini.


''Terdapat dua kategori penyertaan, iaitu hotel dan individu. Bagi kategori hotel, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM1,000 sementara individu RM200. Kami menganggarkan untuk menerima lebih daripada 500 penyertaan,'' katanya yang ditemui pada sidang akhbar mengenai fiesta tersebut di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Penerangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Daud.


Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia akan dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim.


Pada hari tersebut juga sebanyak 10,000 bungkus nasi lemak akan diedarkan secara percuma kepada para pengunjung. - Oleh MERAN ABU BAKAR Gambar ZULKARNAIN SAIDIN

Jumaat, 5 Februari 2010

Nikmati nasi lemak kukus daun pisang


NASI merupakan menu 'wajib' bagi rakyat Malaysia terutama di kalangan orang Melayu.
Bangun pagi sahaja, nasi lemak pasti dicari untuk sarapan.
Begitu juga dengan tengah hari dan malam, hidangannya parti nasi. Kadang-kadang tengah malam pun ada yang masih cari nasi berbanding menu lain.

Nasi lemak misalnya, cukup sinonim dengan warga negara ini tanpa mengira kaum. Makanan tradisi ini tetap menjadi pilihan utama walaupun ada pilihan lain seperti roti canai, mee, kuih-muih dan nasi goreng.

Trend makan nasi lemak kini tidak lagi hanya pagi hari malah pada waktu malam.

Bagi peminat-peminat nasi lemak, apa yang menyedapkan lagi menu tersebut ialah sambal serta lauk sampingan yang disediakan.

Lebih istimewa jika ia dibungkus menggunakan daun pisang, kerana ia membangkitkan aromanya yang harum dan mampu membuka selera.

Jika dahulu nasi lemak disajikan bersama lauk pauk asas seperti kacang tanah, timun, sambal ikan bilis dan telur rebus, kini ia menawarkan pelbagai cita rasa.
Antaranya rendang ayam dan daging, sambal sotong, sambal kerang, ayam goreng dan telur goreng.

Di Kuala Lumpur, pergilah ke mana ceruk pastinya anda dapat menikmati nasi lemak atau nasi lemak kukus.

Salah satu nasi lemak kukus yang sedap untuk dinikmati ialah nasi lemak kukus daun pisang Mastar Catering.

Boleh dinikmati di Kampung Warisan, Putrajaya; Restoran Maulana, Seri Kembangan dan Restoran Maulana, Serdang, nasi lemak kukus daun pisang Mastar Catering sememangnya digilai pelanggan.

Menurut pemilik Mastar Catering, Mastar Muni, lazimnya ayam dara goreng berempah, sambal sotong, daging rendang, paru masak tiga rasa serta sambal kerang menjadi menu pilihan pelanggannya.

''Nasi lemak ini sebenarnya bergantung kepada santan yang digunakan dan yang membuatkannya lebih sedap apabila dihidangkan di atas daun pisang.

''Lauk-lauk sampingan sebenarnya untuk menyedapkan lagi nasi lemak tersebut dan apa pun samballah yang menentukan kehebatan sesuatu nasi lemak,'' ujarnya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Jelas Mastar, setelah melibatkan diri selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berasa puas kerana nasi lemak yang disajikan terus mendapat sambutan.

''Apa yang memuaskan hati setiap tukang masak ialah apabila melihat apa yang disediakan begitu disukai pelanggan.

''Rasa penat bekerja seharian akan hilang, seronok berniaga rasanya,'' tambah Mastar.

Mastar yang dibantu isteri-isterinya, Jamilah Shahir dan Suzrina Mohd. Sabri bangun seawal pukul 4 pagi untuk memulakan kerja-kerja memasak.

Nasi lemak kukus daun pisang ini menggunakan resipinya sendiri dan setiap hari Mastar pastinya menyediakan 90 kilogram (kg) nasi, 20 kg lauk dan 100 kg ayam.

Menurut beliau lagi, nasi lemak kukus daun pisangnya hanya dijual untuk sarapan bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Nasi lemak yang disajikan dengan ayam dara goreng berempah dijual dengan harga RM5.50 sementara bersotong (RM3.50).

Bagaimanapun anda boleh membeli nasi lemak kukus daun pisang Mastar serendah RM1.20 sebungkus (biasa) dan juga boleh mencecah sehingga RM9 sebungkus (pelbagai jenis lauk).

''Kini saya dalam perancangan untuk membuka restoran Nasi Lemak Kukus Daun Pisang Mastar selain bercita-cita menjadikannya sebuah perniagaan francais,'' katanya mengakhiri bualan.
Bagi yang ingin menikmati atau membuat tempahan, boleh hubungi 016-672 5543 atau www.mastarcatering.com. - Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA Gambar ZAKI AMIRUDDIN

Rabu, 3 Februari 2010

Fiesta Nasi Lemak 1Malaysia













Sebuah Kereta Menanti Pemenang Pertandingan Memasak Nasi Lemak 1Malaysia

Nasi lemak merupakan makanan harian yang tidak kira masa samaada sarapan pagi, tengahari, petang dan malam. Oleh itu, acara fiesta nasi Lemak 1 Malaysia adalah satu usaha untuk membawa masyarakat mengenali asal usul Nasi Lemak di mana nasi lemak ini akan dimasak oleh lapisan masyarakat pelbagai kaum negara ini


Disamping itu, acara ini dapat menyumbang kepada usaha kerajaan Malaysia menyatupadukan rakyat melalui makanan. Ianya juga dapat menyumbang ke arah gagasan Satu Malaysia sebagaimana di suarakan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia.


Justeru itu, pertandingan memasak "Nasi Lemak 1Malaysia" anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bakal diadakan bulan depan di Dataran Merdeka.


Lebih menarik lagi, berbagai hadiah lumayan menanti pemenang termasuk sebuah kereta.


Pertandingan itu nanti diadakan selama dua hari itu bermula 13 Mac terbuka kepada segenap lapisan masyarakat dan nasi lemak yang paling sedap akan dinobatkan sebagai "Nasi Lemak 1Malaysia".


Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Datuk Mohammed Mohd Daud berkata pertandingan akan dibahagikan mengikut dua kategori iaitu kategori A untuk peserta yang bekerja sebagai chef atau yang terlibat dalam apa-apa aktiviti masakan dan kategori B pula terbuka untuk semua individu.


"Nasi lemak adalah makanan yang disenaraikan sebagai warisan kebangsaan dan diharapkan pertandingan ini dapat dijayakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.


Mohammed berkata pemenang akan dipilih mengikut setiap kategori, hadiah utama untuk kategori A adalah wang tunai berjumlah RM20,000 manakala hadiah utama bagi kategori B ialah wang tunai RM10,000. Pemenang bagi Nasi Lemak 1Malaysia akan dipilih daripada kedua-dua kategori ini.


Mohammed berkata penyertaan untuk pertandingan ini akan dikenakan bayaran mengikut kategori iaitu RM1,000 bagi kategori A dan RM200 bagi kategori B.


Maklumat lanjut mengenai fiesta dan pertandingan ini boleh didapati menerusi laman web http://nasilemak1malaysia.webs.com/ ataupun menghubungi Pejabat Sekretariat di Sri Warisan Event Management, 19M, Jalan 6/4, Pandan Indah Commercial Park, 55100 Kuala Lumpur. Pejabat Sekretariat boleh dihubungi bagi mendapat maklumat lanjut, di talian 03-42936678, faks 03-42936678 atau Hotline 012-6871742, 012-3390142 .-- BERNAMA

Khamis, 31 Disember 2009

Sejahtera Sepanjang Tahun Baru 2010


Salam sejahtera kepada semua rakan blog dan sahabat taulan…
Selamat menyambut 2010 disusuli gerhana bulan yang diharap dapat dirai kedatangan tahun harimau dengan berani dan melindungi anak genarasi masa depan.
Harapan saya agar dengan alaf 21 akan ceria dengan petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.

Selasa, 22 Disember 2009

Titah Tuanku!


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah: Umat diseru bina jati diri unggul

UMAT ISLAM harus membina jati diri yang unggul, memiliki dan mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhkan semua sifat mazmumah, titah timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.

Baginda, yang juga Sultan Kedah bertitah, sewajarnya umat Islam mengambil iktibar daripada sikap toleransi para sahabat Nabi Muhammad selepas Rasulullah wafat.

"Walaupun pada permulaannya setiap puak ingin mempertahankan pendapat dan pandangan masing-masing, namun dengan sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan ummah, mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dan masalah dapat diselesaikan di mana semua pihak berpuas hati.

"Hasilnya, Islam terus berkembang dan ikatan ukhuwah antara ummah semakin erat dan kukuh," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2009/1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya.

Baginda turut mengingatkan setiap anggota masyarakat supaya sentiasa berasa bertanggungjawab untuk bersama-sama membina kesatuan ummah yang melangkaui kepentingan diri atau kelompok.

"Masyarakat Islam khasnya mesti meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya. Hanya dengan berbuat demikian ummah akan terselamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.

"Umat Islam sekarang mesti bekerja keras untuk menguasai segala kekuatan, kehebatan dan keunggulan yang pernah dimiliki umat Islam terdahulu," titah baginda.

Majlis itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom. - BERNAMA