Sabtu, 13 Februari 2010

Pesta Nasi Lemak Bermula

Keterangan gambar: Mohamed Daud (dua dari kiri) dan Yang Jamil (dua dari kanan) pada sidang akhbar Fiesta Nasi Lemak 1Malaysia

NASI LEMAK, salah satu daripada hidangan masakan masyarakat Melayu turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia. Nasi lemak sudah menjadi makanan harian pada setiap masa tidak kira pagi, tengah hari, petang dan malam.


Bertujuan menyatupadukan rakyat ke arah gagasan 1 Malaysia sebagaimana saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak, pihak Jabatan Warisan Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Sri Warisan Event Management akan menganjurkan Fiesta Nasi 1 Malaysia pada 13 dan 14 Mac depan.


Fiesta yang akan diadakan di Dataran Merdeka ini akan bermula daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.


Menurut Pengerusi Program Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia, Chef Yang Jamil, fiesta ini akan diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak nasi lemak yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat, demo masakan daripada selebriti tanah air, persembahan artis, pertandingan pakaian, gerai masakan warisan dan cabutan nombor bertuah.


''Kami mengalu-alukan penyertaan daripada persatuan artis tanah air, persatuan peniaga, pertubuhan, hotel, institusi pengajian tinggi, kolej masakan, restoran, orang perseorangan dan sebagainya.


''Kami turut menyeru kepada pihak-pihak penaja untuk bersama-sama membantu dan memeriahkan Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia ini.


''Terdapat dua kategori penyertaan, iaitu hotel dan individu. Bagi kategori hotel, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM1,000 sementara individu RM200. Kami menganggarkan untuk menerima lebih daripada 500 penyertaan,'' katanya yang ditemui pada sidang akhbar mengenai fiesta tersebut di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Penerangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Daud.


Fiesta Nasi Lemak 1 Malaysia akan dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim.


Pada hari tersebut juga sebanyak 10,000 bungkus nasi lemak akan diedarkan secara percuma kepada para pengunjung. - Oleh MERAN ABU BAKAR Gambar ZULKARNAIN SAIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan